Pantang Larang Ketika Memperkenalkan Makanan Pelengkap Kepada Bayi

Pemberian makanan pelengkap biasanya boleh dimulakan apabila bayi anda berusia 6 bulan kerana pada usia ini sistem penghadamannya sudah cukup matang untuk menghadamkan makanan pepejal dan separa pepejal yang berlainan jenis serta kurangkan risiko sembelit.

Bayi juga akan menunjukkan tanda kesediaan untuk menerima makanan pelengkap melalui tanda berikut iaitu;-

  • Boleh duduk dengan sedikit sokongan atau tanpa sokongan dan dapat mengawal kepalanya sendiri.
  • Cepat lapar, meminta susu walaupun selepas diberikan susu ibu atau kerap menyusu.
  • Boleh mengawal lidahnya dengan baik.
  • Mula mengunyah atau menggerakkan mulutnya ke atas ke bawah seperti mengunyah.
  • Gemar memasukkan benda ke dalam mulutnya. Ini habit terkini baby Rara, gemar sangat masukkan jari ke dalam mulut. Sabar sayang, lagi sebulan dah boleh makan sedap-sedap 😀
  • Menunjukkan minat kepada makanan yang anda makan, seperti cuba merampas makanan atau membuka mulutnya.

Mengetahui cara untuk memulakan pemberian makanan pelengkap adalah penting, kerana anda bukan sahaja dapat memastikan si manja mendapat segala nutrien yang diperlukan, tetapi juga membantu memupuk tabiat makan yang baik sejak dari kecil.

cara memulakan pemakanan bayi 6 bulan

Sekerap mana anda patut memberi makanan pelengkap?

  • 6-8 bulan: makanan utama 2-3 kali sehari dan pastikan susu ibu diberi 5-6 kali sehari. Makanan snek umumnya tidak perlu diberikan, tetapi boleh diberi jika dapat diterima oleh bayi.
  • 9-11 bulan: makanan utama 3-4 kali sehari ditambah 1-2 snek berkhasiat.
  • 1-2 tahun: Makanan utama 4-5 kali sehari ditambah 1-2 snek berkhasiat.

Perkara Yang BOLEH Dilakukan Oleh Ibu

  1. Perkenalkan kepadanya hanya satu makanan pada satu masa. Sebagai contoh, mulakan dengan bubur nasi. Setelah anak dapat membiasakan diri dengannya, perkenalkan makanan kedua daripada satu lagi kumpulan makanan.
  2. Tunggu selama 4 hari selepas memperkenalkan makanan baru; ini akan membantu menentukan sama ada bayi anda gemarkan makanan yang baru diperkenalkan dan membolehkannya membiasakan diri dengannya. Dalam masa 4 hari ini, anda juga boleh mengesan tanda alahan kepada makanan.
  3. Mulakan dengan kuantiti yang sedikit. Tambah sedikit demi sedikit apabila usia anak meningkat.
  4. Setelah bayi dapat membiasakan diri dengan pelbagai jenis makanan, anda bolehlah mencampurkan beberapa jenis makanan dalam satu hidangan, seperti bubur nasi dengan ayam cincang dan puri sayur.
  5. Pastikan rasa dan tekstur makanan sesuai dengan tahap perkembangan anak.
  6. Suap makanan sebaik sahaja anak lapar, sebaik-baiknya sebelum si manja anda meragam atau hilang selera makan.
  7. Bergantung pada keupayaan anak, beri makanan yang boleh diambil sendiri atau air dalam cawan yang boleh dipegang.
  8. Elakkan benda yang boleh mengalih perhatian, seperti TV, tablet dan mainan, semasa makan supaya anak boleh memberi tumpuan penuh dan menikmati makanannya.
  9. Makan bersamanya. Ibu boleh menggalakkan anak untuk makan atau belajar menyuapkan makanan sendiri.
tips memujuk anak makan

Cara ibu memperkenalkan makanan kepada anak akan menentukan samada anak suka makan atau sebaliknya.

Perkara Yang TIDAK BOLEH Lakukan Oleh Ibu

  1. Mencampurkan makanan yang berlainan jenis dalam satu masakan apabila mula memperkenalkan makanan pelengkap.
  2. Memberi makanan yang boleh menyebabkan anak tercekik, seperti kekacang dan bijian.
  3. Memaksa bayi makan atau memberi makanan secara berlebihan. Hentikan pemberian makanan apabila anak memalingkan muka atau menunjukkan tanda tidak berminat; dia mungkin sudah kenyang.

Semoga ibu mendapat sedikit info dan idea untuk memulakan makanan pelengkap kepada bayi. Ingat pantang larang di atas tau. Ia sangat penting sebagai “masa depan” penerimaan makanan terhadap anak-anak anda.

Saya dah mengalami betapa sukarnya nak menghadapi anak yang kurang selera makan. Ya saya akui, saya langgar pantang larang kerana sebelum ni tidak mempunyai info dan ilmu mencukupi tentang ni. Dah anak ke-empat baru nak insof. InsyaAllah untuk baby Rara saya akan patuhi pantang larang macam kat atas, semoga tak bentan! hihihi.. All the best mommy 😀

Luv,
Aya Chalo | 013-8633224
Parenting From The Heart
Visit our Page at Facebook AyaChalo.com – Parenting From The Heart

 

Tips Memulakan Pemakanan Pertama Bayi Buat Ibu Muda

Hari ni genap usia baby Rara 4 bulan. Lagi dua bulan bolehlah mula berikan dia makanan pejal. Walaupun Rara ni anak keempat, tapi nak juga buat research sikit tentang pemakanan pertama bayi, well, setiap anak tu Aya rasa macam lahirkan anak pertama, hehe… Saya kongsikan apa info yang penting untuk mommies ya.

Sebaiknya jangan mulakan makanan pertama bayi sebelum usianya 6 bulan. Memulakan pemakanan lebih awal sangat tidak digalakkan kerana sistem pencernaan bayi belum matang dan ia akan meningkatkan risiko alergi makanan. Selain itu, ia juga meningkatkan risiko bayi mengalami sembelit.

So mommies jangan excited sangat tau. Fikirkan kesan jangka masa panjang baby.

Pemakanan Pertama Bayi 6 Bulan, Info Makanan Bayi, Makanan Pejal Bayi

Bagaimana nak tahu yang bayi anda bersedia untuk makan?

Selalunya tanda-tanda “mahu makan” ini akan bermula dari 4 bulan sehingga 6 bulan. Namun, mommies perlu tahu yang tanda-tanda ini berbeza antara bayi. Mungkin ada bayi yang menunjukkan satu, dua tanda, atau kesemua tanda yang ada di dalam senaraikan ini. Mommies boleh perhatikan tanda-tanda seperti;-

  • Bayi menunjukkan respon “masih lapar” walaupun sudah minum susu dengan cukup.
  • Permintaan sesi menyusu bayi bertambah kerap.
  • Bayi mula bangun pada tengah malam selepas satu tempoh penyusuan biasa.
  • Bayi menunjukkan minat ketika melihat orang lain sedang makan. Kekadang sampai menitik-nitik air liur, hihihi..
  • Bayi mampu menegakkan kepala dan leher ketika dalam posisi duduk.

Untuk kesihatan dan keselamatan bayi, mulakan pemakanan pejal bila bayi memasuki usia 6 bulan ok 😀

Bagaimana memulakan makanan pertama bayi ketika 6 bulan?

Mulakan makanan pejal pertama bayi anda dengan puri apple, pear, lobak, ubi kentang, ubi manis yang dilenyek halus dan cair. Mommies boleh tambah campuran buah dan sayur ke dalam bubur bayi.

Jangan fikirkan yang bayi anda mampu makan dengan banyak pada minggu pertama. Berikan makanan pejal ini sehari sekali dan pilihlah masa yang anda berdua tenang agar sesi pengenalan berjalan lancar. Anda mungkin perlu berikannya susu ibu setelah selesai.

Kadang-kala sesi memulakan makanan pertama bayi ini mungkin gagal. Ini disebabkan bayi masih belum bersedia. Bertenang mommies, anda boleh saja mencuba semula selang beberapa hari selepas cubaan gagal.

Makanan Pertama Bayi

Makanan Pertama Bayi: Pisang dan Papaya tidak perlu dimasak.

Buah dan Sayur Pertama Bayi Anda

Makanan pertama bayi haruslah makanan yang mudah dihadam dan yang tidak akan menyebabkan reaksi alergi.

Sayuran berakar seperti lobak merah, ubi manis, lobak putih, kentang sering kali menjadi pilihan sebagai makanan pejal pertama bayi kerana ia mempunyai rasa manis semulajadi dan mempunyai tekstur halus setelah menjadi puri.

Buah-buahan terbaik untuk dijadikan makanan pertama bayi pula adalah apple, pear, pisang dan papaya. Sangat penting untuk memilih buah-buahan yang mudah dimasak dan mempunyai rasa yang enak. Mommies jangan lupa untuk mencuba sendiri makanan bayi barulah berikan kepada bayi tau.

Tips Penting Setelah Memulakan Makanan Pejal Kepada Bayi

Ramai yang mengatakan apabila memperkenalkan makanan kepada bayi, jarakkan jenis makanan yang berbeza selama tiga hari untuk melihat reaksi alergi. Anda boleh melakukan sebegini jika bayi anda sejarah alergi, namun, jika tidak ada, anda boleh memperkenalkan makanan baru pada setiap hari yang penting anda mencatat jadual pemakanan bayi anda.

Mommies kena ingat, memperkenalkan makanan pejal kepada bayi bukan bererti mengurangkan pengambilan susu bayi. Susu bayi tak kira lah susu ibu atau susu formula tetap penting dalam pertumbuhan dan perkembangan bayi anda.

Mommies juga perlu berhati-hati dalam memberikan makanan masam seperti oren, nenas, beri dan kiwi kerana dikhuatiri tidak sesuai dengan bayi. Sebaiknya mommies boleh meluaskan lagi menu makanan pejal kepada bayi agar si comel dapat pelbagai khasiat dan nutrisi yang penting semasa membesar.

Akan datang saya akan kongsikan resipi makanan bayi pula. Saya harap perkongsian ini berguna buat mommies. Tak sabar menunggu hari pertama baby Rara makan nanti <3

Take Care!

Luv,
Aya Chalo | 013-8633224
Parenting From The Heart
Visit our Page at Facebook AyaChalo.com – Parenting From The Heart